Salah satu kebimbangan yang sering melanda pemandu-pemandu yang ingin pulang ke kampung pada hari raya adalah keadaan lalu lintas yang sesak atau selalu disebut orang kita sebagai 'traffic jam'.
Memang benar kesesakan jalan raya tak dapat dielakkan lebih-lebih lagi bila perayaan menjelang tiba namun adalah lebih baik jika sekurang-kurangnya kita tahu sejauh mana 'jam' atau dimana titik-titik 'jam' supaya boleh kita rancang perjalanan. Sebagai contoh, kalau jam dah terlampau panjang dan kita sendiri pun penat, boleh lah cari tempat-tempat selamat untuk berhentikan kenderaan dan tidur.
Bagi yang ingin memeriksa status trafik di lebuhraya-lebuhraya dan jalan-jalan utama di ibu negara, boleh berbuat sedemikian menerusi laman Jalanow.com.
Apa yang menarik tentang laman ini adalah menunya disusun secara rapi bagi memudahkan interaksi pengguna dengan laman itu.
Menyelusuri bahagian dalam satu-satu jalan pula, pengguna akan dibekalkan dengan gambar-gambar terkini keadaan trafik di jalan-jalan yang terlibat.
Kebanyakan gambar yang diberikan diambil berdekatan tol, jadi orang ramai boleh mengagak keadaan trafik di jalan yang mahu diredah.
Jika takut kehabisan data pula, jangan risau kerana laman itu hanya memaparkan gambar-gambar terkini, bukannya video.
Pandu selamat raya ini dan rancang perjalanan sebaik mungkin!